| TEKS UCAPAN PENUH : | |
| | |
| Y. Bhg. Dato' Hj. Ismail Bin Ngah | |
| Ketua Pengarah, Jabatan Landskap Negara | |
| | |
| Y. Bhg. Dato' Hj. Mohd Adanan Bin Isman Presiden KISDAR | |
| Ahli-ahli Lembaga Pengarah KISDAR Semak Tetamu Kehormat Lain | |
| | |
| Assalamualaikum dan salam sejahtera. | |
| | |
| Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) kerana sudi menjemput saya bagi merasmikan Pelancaran Kempen Tanam Pokok Anjuran KISDAR Bersama Jabatan Landskap Negara pada hari ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak KISDAR kerana mempunyai inisiatif bagi menyahut aspirasi Kerajaan ke arah merealisasikan slogan Malaysia Negara Taman menjelang Tahun 2005. Sesungguhnya usaha murni yang dilaksanakan bagi memupuk kesedaran kepada para pelajar di kalangan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mahupun Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ini perlu dicontohi oleh institusi-institusi pengajian tinggi lain di negara kita ini. | |
| | |
| Tuan-tuan dan Puan-puan, | |
| | |
| Hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 perlu dilihat bukan sahaja daripada aspek ekonomi dan fizikal, malahan dari semua aspek termasuklah aspek pembangunan landskap dan taman. Kemajuan Negara tidak akan bermakna jika keindahan landskapnya diabai dan dipinggirkan. Oleh sebab itu, Kerajaan telah berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Taman menjelang tahun 2005. | |
| | |
| Penyediaan landskap yang berkualiti dan sempurna mempunyai banyak faedah sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini jelas dapat dilihat hasil daripada keindahan dan wujudnya keselesaan persekitaran kehidupan kita terutamanya di tempat tinggal, persekitaran bekerja dan persekitaran pembelajaran. Kewujudan elemen landskap yang berkualiti dan sempurna di kawasan pelancongan pula akan memberikan pulangan ekonomi kepada sesebuah negara dengan memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan terutamanya di dalam menarik kedatangan pelancong. Saya juga ingin menarik perhatian tuan-tuan dan puan-puan bahawa, pengekalan dan pemuliharaan alam semula jadi juga akan turut terpelihara dengan adanya pembangunan landskap yang berkualiti dan sempurna. Ini dapat dilihat dari aspek pengkayaan, pengekalan kualiti visual yang menarik, wujudnya kualiti udara dan air bersih dan apa yang paling penting adalah bagaimana elemen landskap itu mengelak dan mencegah dari berlakunya hakisan. Oleh yang demikian, penggembelingan tenaga dan minda perlu disatukan untuk menghayati landskap sebagai satu proses kejadian alam dan manusia adalah sebahagian daripadanya, menghormati dan menggayakannya untuk kemajuan dan kesejahteraan sejagat.Usaha ini tidak seharusnya dipikul oleh Kerajaan semata-mata, malah semua pihak harus responsif dan proaktif memberi sumbangan yang tidak berbelah bagi. Saya berkeyakinan penuh, dengan adanya komitmen yang tinggi dari semua pihak seperti yang ditunjukkan oleh para pelajar di KISDAR pada hari ini, hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Taman menjelang tahun 2005 akan dapat direalisasikan. | |
| | |
| Tuan-tuan, Puan-puan dan para hadirin sekalian, | |
| | |
| Dengan adanya kempen tanam pokok seumpama ini, kita berharap agar objektif yang digariskan dapat dicapai, antaranya bagi menyediakan persekitaran yang sihat, selamat, sejahtera dan indah untuk kita semua. la juga dapat menggalakkan seluruh rakyat bersatu tenaga dan bersama-sama berusaha menanam pokok dan menjaganya. Secara tidak langsung ia dapat memupuk kesedaran masyarakat untuk menerima bahawa tanggungjawab menghijaukan negara adalah tanggungjawab kita bersama. Usaha ini juga akan dapat memupuk semangat perpaduan yang padu sesama kita. Paling utama, aktiviti ini dapat menggerakkan komuniti dan masyarakat dengan aktiviti melandskap negara ke arah menjadikan negara kita Malaysia Negara Taman menjelang tahun 2005. | |
| | |
| Justeru itu, saya amat berharap program kempen tanam pokok yang akan kita laksanakan pada hari ini akan memberi kesedaran dan pendedahan kepada semua lapisan masyarakat terutamanya pelajar di institusi pengajian tinggi agar usaha menanam pokok dapat diteruskan di masa akan datang. Akhir kata, bagi pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat terutamanya pihak KISDAR yang telah berjaya menganjurkan program Kempen Menanam Pokok bersama Jabatan Landskap Negara pada hari ini. Sesungguhnya usaha murni ini akan mempercepatkan lagi usaha untuk menjadikan Malaysia Negara Taman 2005. | |
| | |
| Jika boleh marilah kita bersama-sama menjadikan usaha penanaman pokok yang kita jalankan pada hari ini kita laksanakan dengan ikhlas. Dan kita juga bersama- sama menjaganya. Semoga usaha kita yang sedikit ini akan menjadi amal jariah yang diredhai ALLAH dan memberikan amal kebajikan yang berpanjangan, Insyaallah. | |
| | |
| Ingin saya nyatakan bahawa, usaha tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini perlulah diteruskan di masa akan datang. Terima kasih kerana menjadikan kempen ini sebagai acara tahunan. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada pihak KISDAR kerana berjaya menganjurkan program Kempen Menanam Pokok bersama Jabatan Landskap Negara pada hari ini. | |
| | |
| Dengan lafaz "BISMILLAH HIRRAHMA NIRRAHIM" saya dengan sukacitanya merasmikan Pelancaran Kempen Tanam Pokok pada hari ini. | |
| | |
| Sekian. Terima kasih. | |